Tentang Kunak



Nama pekan Kunak didasarkan kepada nama sebuah kapal yang pernah berlabuh di Teluk Lahad Datu (dahulu dikenali sebagai Darvel Bay). Kapal dalam kelas 5,000 tan tersebut adalah kepunyaan Straits Steamship Company yang dibeli dari sebuah syarikat perkapalan Belanda, KPM pada tahun 1960. Jelaslah bahawa daerah ini diberikan nama Kunak selepas tahun 1960.

Kunak, sebuah pekan kecil yang terletak di pantai timur Sabah telah dibuktikan oleh ahli-ahli arkeologi sebagai daerah tapak kegiatan manusia purba sejak 30,000 tahun sebelum masehi. Kunak merupakan salah satu tempat Pra-Sejarah iaitu Zaman Kewujudan Manusia Pertama di Tingkayu. Hal ini bukan sahaja baru, malahan perkara ini telah tercatit dalam sejarah Malaysia. Dalam suatu tulisan pada buku, South East Asia: From Prehistory to History oleh Glover & Bellwood (2004), telah dinyatakan tentang “sebuah industri peralatan Zaman Batu wujud di kawasan Tingkayu pada Zaman Pleistocene (Zaman Ais Batu)”.

Daerah Kunak meliputi kawasan seluas 438 batu persegi iaitu 1134 km persegi, didiami lebih kurang 60,086 penduduk yang antaranya terdiri dari Bumiputera keturunan Bajau, Bugis, Suluk, Cocos dan kaum-kaum lain. Lebih 95% penduduk daerah Kunak adalah bumiputera beragama Islam. Daerah ini terdiri daripada dua mukim, iaitu Mukim Madai dan Mukim Pangi. Daerah ini terletak pada kedudukan global 4°41’0"N; 118° 15’0"E. Kawasan di bahagian timur Sabah ini telah timbul dari permukaan laut pada zaman Cretaceous (Zaman Batu Kapur - 140 juta hingga 65 juta tahun yang lalu) sedangkan Borneo pada keseluruhannya timbul hanya 15 juta tahun yang lalu. Oleh kerana itulah gumpalan-gumpalan batu kapur yang besar kebanyakannya terdapat di pantai timur Sabah. Satu daripada bentukan seumpamanya ialah Gua Madai di Daerah Kunak.

Kunak merupakan salah satu tempat yang menarik di Negeri Sabah. Apa yang dimaksudkan ialah terdapat banyak tempat-tempat yang menarik untuk dikunjungi. Antara yang diketahui ialah, Mud Pool (Kolam Lumpur) yang terdapat di Binuang. Selain itu, di Kunak juga terdapat Hot Spring (Kolam Air Panas) yang semulajadi dan sehingga ke hari ini, tempat tersebut sering menjadi kunjungan orang ramai untuk beriadah di waktu cuti. Dahulunya, tempat-tempat ini tidak diberi perhatian yang sepenuhnya, namun kini tempat-tempat ini dijadikan simbolik kepada Daerah Kunak.

Sewaktu perang dunia ke-2 dalam tahun 1940-an, Kunak juga tidak terlepas dari menjadi kubu pihak tentera Jepun dan kesan peninggalan tersebut juga masih boleh ditatap di beberapa kawasan tertentu seperti bangunan Klinik tentera Jepun, Bangkai enjin pesawat pihak bersekutu di muara sungai Sialeong dan kesan-kesan lain kebanyakkannya masih terdapat di dalam ladang-ladang kelapa sawit. Banyak peninggalan tentera Jepun yang masih tertanam utuh dan menjadi bahan kajian ahli arkeologi pada masa kini. Tempat yang dimaksudkan ialah Ladang Mostyn yang kini di bawah pengurusan Sime Darby.

Selain itu, Daerah Kunak merupakan daerah yang kaya dengan sumber marin seperti udang, ikan, ikan bilis dan ketam sama ada yang bersumber dari laut atau yang diternak dalam sangkar. Kunak juga adalah antara daerah pengeluar rumpai laut di Sabah dan pengeluar ikan keempat terbesar.

Sumber : Kunak, Sabah

No comments:

Post a Comment